PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) dapat menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter setakat ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut Berita Harian, beliau berkata, data terkini itu direkodkan hingga 25 Mei, sejak pelaksanaan inisiatif itu dibuat 15 April lalu, sekali gus membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis bekalan global.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lalu.
“Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi “Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness” (ERAT) di sini malam tadi.








