ALOR SETAR — Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalu-alukan kehadiran Parti Bersama Malaysia (MU) yang dilihat mampu mengambil alih ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.
Menurut Sinar Harian,Menteri Besar Kedah itu berkata, perkembangan tersebut dilihat mampu memecah-belahkan PKR selain memberi ruang kepada ahli parti berkenaan menyertai MU.
Beliau percaya ‘roh reformasi’ kini lebih dekat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berbanding Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya alu-alukan kehadiran mereka untuk mengambil ahli-ahli PKR di Kedah, pecah-belahkan PKR dan masuk MU.
“Sungguh-sungguh pun, saya rasa roh reformasi ada pada Rafizi, tidak ada pada PMX, roh tersebut telah beralih kepada Rafizi,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 2026 di Mentaloon, di sini.







