Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa semua pihak menghentikan kempen dan naratif yang memecahbelahkan masyarakat berdasarkan kaum serta parti politik.
Sebaliknya, beliau berkata kempen yang sihat perlu memberi tumpuan kepada usaha memperjuangkan kepentingan rakyat dan memelihara keharmonian negara.
Menurut Anwar, Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu, Islam dan Bumiputera tetap perlu menjamin hak serta kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Jangan dengar kempen-kempen yang melagakan antara Melayu dan Cina atau antara parti tertentu. Jika masing-masing terus bertelagah atas isu kaum, yang akan rugi adalah rakyat di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara hari ini.
Anwar menegaskan bahawa perpaduan dan kestabilan masyarakat perlu terus dipelihara, dengan tumpuan diberikan kepada kebajikan rakyat berbanding persaingan politik yang berasaskan sentimen kaum.-Malaysia Gazette







