KUALA LUMPUR — Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar menyelar sikap Pas yang didakwa tidak konsisten dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, malah menyifatkan parti itu sebagai “juara bermusim” yang hanya lantang apabila melibatkan pihak lawan politik.
Menurut Malaysia Gazette, Pas didakwa pantas menuduh pihak lain sebagai derhaka serta mengapi-apikan sentimen rakyat apabila timbul isu berkaitan institusi raja, namun mengambil pendirian berbeza apabila perkara sama melibatkan pemimpin parti sendiri.
Mahfuz turut merujuk kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebelum ini yang menyatakan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong bukan pemutus yang menghalang perubahan dalam sistem demokrasi dan perjalanan politik negara.
“Rakyat masih ingat kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan titah Yang di-Pertuan Agong bukan pemutus yang menghalang kepada perubahan dalam sistem demokrasi dan perjalanan politik negara.
“Kenyataan itu jelas membawa maksud bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa raja tertakluk kepada Perlembagaan dan proses demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pas bagaimanapun didakwa tidak mengambil pendirian tegas terhadap kenyataan tersebut dan berdiam diri ketika ia dibangkitkan sebelum ini.
“Hari ini Pas cuba menyerang pihak lain atas isu yang sama maknanya. Persoalannya, mengapa Pas tidak mengecam Tan Sri Hadi Awang? Mengapa tiada himpunan bantahan di depan Istana Negara ketika Presiden Pas mengeluarkan kenyataan tersebut?
“Mengapa ukuran ‘derhaka’ Pas berubah ikut warna parti?” soalnya lagi.








