PUTRAJAYA — Kerajaan sedang berusaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember ini susulan kesan konflik di Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Menurut Berita Harian ,beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, setakat ini bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai, namun usaha sedang dipergiat termasuk mendapatkan sumber bekalan dari luar negara.
“Kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga, supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak serta gas kita.
“Setakat ini, insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Julai.
“Petronas sedang bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika sekalipun, insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan inisiatif Rebat Solar dan Bantuan Insentif Kelestarian (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), hari ini.








