Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pihaknya tidak bertindak secara semberono dalam pemberian dokumen pengenalan diri kepada 9,007 penduduk yang terjejas dalam kebakaran besar rumah atas air di Kampung Bahagia, Sandakan, Ahad lalu.
Menurut Malaysia Gazette, Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses itu perlu melalui langkah tertentu termasuk menunggu Kerajaan Negeri Sabah menyelesaikan pendaftaran mangsa terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.
Menurut beliau, dalam proses pendaftaran tersebut, pihaknya akan meneliti setiap kes termasuk individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Kita tak boleh buat satu kenyataan umum. Seperti mana biasa, soal pemilikan dokumen peribadi ini sangat penting untuk dimiliki.
“Pada masa yang sama, tak boleh juga sewenang-wenangnya diberikan kepada mereka yang tidak layak memilikinya,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri hari ini.
“Kalau kejadian seperti itu berlaku, menyebabkan dokumen itu hilang, kami akan membolehkan mereka mengadakan dokumen ganti.
“Tapi itu bukan bermakna kita akan pukul borong saja. Semua mangsa layak atau tidak (dapat dokumen pengenalan diri). Kita akan tangani satu persatu,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri hari ini.








