Seorang lelaki berusia 32 tahun yang terlibat dalam kes tular tangkapan di Jalan Tunku Putra, Kulim direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Buletin TV3,Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, perintah reman terhadap suspek diperoleh di Mahkamah Majistret Kulim hari ini.
Sebelum ini, satu video berdurasi 29 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki ditahan dalam Operasi Ronda Cegah Jenayah di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra.
Menurut beliau, semasa anggota polis cuba menahan suspek, berlaku pergelutan apabila lelaki itu menendang motosikal milik anggota sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Polis turut menemui dua bungkus plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air ketum daripada suspek, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.








