Dakwaan penghantaran diesel dari Malaysia ke Filipina mengundang tanda tanya berhubung kedudukan sebenar bekalan bahan api negara, menurut Tokoh Wartawan Negara, Abdul Kadir Jasin.
Dalam kenyataan di media sosial, beliau merujuk kepada frasa “dumating na” dalam bahasa Tagalog yang bermaksud “sudah tiba”, yang digunakan bagi mengumumkan ketibaan kira-kira 329,000 tong atau lebih 52 juta liter diesel dari Malaysia ke Filipina.
Menurutnya, beberapa laporan media Filipina menyatakan penghantaran itu bertujuan memperkukuhkan bekalan bahan bakar negara berkenaan.
“Ya, dari negara kita, Malaysia, di mana harga diesel tanpa subsidi telah meroket 121.05 peratus sejak perang Asia Barat 28 Februari lalu, dan sesetengah stesen minyak tempatan mula putus bekalan,” katanya.
Bagaimanapun, Petronas menafikan penglibatan dalam pengeksportan itu, manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dilaporkan “mengesahkan” penghantaran tersebut bukan berasal dari Malaysia.
“Jadi yang mana satu benar dan mana satu palsu? Siapa bercakap benar dan siapa berbohong?” soal beliau.








