Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mendakwa sentimen rakyat di negeri itu ketika ini menunjukkan kecenderungan untuk melihat Perikatan Nasional (PN) kembali mentadbir.
Menurut Sinar Harian Pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat berdasarkan reaksi dan maklum balas yang diterima daripada rakyat di pelbagai peringkat.
“Saya mendapati bahawa golongan rakyat begitu bersedia untuk menukar kerajaan lebih-lebih lagi di negeri Perak ini kerana amat tidak bersetuju terutamanya sekali dengan hubungan rapat di antara UMNO dan DAP dan perkara-perkara yang mereka lakukan melukakan hati terutamanya sekali golongan pengundi Melayu.
“Malah apabila mereka tidak begitu business friendly menyebabkan pengundi-pengundi daripada golongan Tionghua juga telah beralih arah,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak bersama Bersatu Bahagian Sungai Siput di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini pada Ahad.








