Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli secara sinis dilihat ‘menikmati’ pertikaman lidah antara Naib Presiden parti itu, Datuk Seri R Ramanan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim ketika Konvensyen PKR Johor semalam.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Rafizi berkata pada awalnya dia menyangka keadaan panas di rumahnya berpunca daripada cuaca luar, namun menyedari ia sebenarnya berkait dengan situasi politik semasa PKR.
“Aku ingat suhu kat rumah ni panas sebab cuaca kat luar panas. Rupanya sebab politik PKR makin panas di semua peringkat,” katanya.
Beliau bagaimanapun berseloroh bahawa dirinya tidak terlalu mengikuti perkembangan tersebut kerana lebih banyak menghabiskan masa di rumah menonton rancangan misteri pembunuhan, Agatha’s Poirot.
Menurut Rafizi, tontonan itu sedikit sebanyak membantu mengasah kemahiran mengenal pasti “siapa orang jahat sebenar”, sambil mengaitkannya secara sinis dengan situasi politik.
“Lebih baik tengok murder mystery sebab boleh tambah skill cari siapa orang jahat pembunuh sebenar. Selalunya pembunuh sebenar ni awal-awal nampak baik; tapi last-last kantoi juga,” katanya lagi.
Dalam nada sama, beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang menurutnya terus “memberi peluru” untuk beliau mengulas isu politik setiap minggu.
“Kenapa la diorang ni dok bagi peluru untuk aku ulas setiap minggu?” katanya.
Rafizi turut berseloroh bahawa jika tiada isu politik, beliau mungkin akan menghasilkan kandungan media sosial berkaitan kucing peliharaannya, namun keadaan semasa menyebabkan bahan politik terlalu banyak untuk dikupas.
“Kalau tak ada peluru politik aku buat content kucing-kucing aku je. La ni kesian diorang tak ada content sebab queue content politik banyak sangat,” katanya.








