Kira-kira lima juta penduduk di beberapa wilayah Arab kini berada di ambang kebuluran susulan kenaikan mendadak harga makanan, menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Malaysia Kini,badan itu memberi amaran bahawa konflik berpanjangan, ketidaktentuan ekonomi serta gangguan rantaian bekalan telah menyebabkan harga makanan melonjak ke paras tinggi, sekali gus menjejaskan akses penduduk kepada keperluan asas.
PBB memaklumkan peningkatan kos makanan memberi kesan paling ketara kepada golongan rentan, termasuk keluarga berpendapatan rendah, wanita dan kanak-kanak, yang kini berdepan risiko kekurangan zat makanan dan kebuluran.
Menurut agensi tersebut, situasi semakin meruncing apabila bantuan kemanusiaan turut berdepan kekangan, manakala keupayaan kerajaan tempatan untuk menstabilkan harga adalah terhad.
Dalam pada itu, PBB menggesa komuniti antarabangsa supaya meningkatkan bantuan segera bagi mengelakkan krisis kebuluran yang lebih besar, selain menekankan keperluan penyelesaian jangka panjang terhadap konflik dan ketidakstabilan yang menjadi punca utama krisis makanan di rantau berkenaan.
Amaran itu turut menegaskan bahawa tanpa campur tangan segera, jutaan lagi penduduk berisiko terjerumus ke tahap ketakjaminan makanan yang lebih serius dalam tempoh terdekat.








