Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar mengkritik tindakan PAS dan Perikatan Nasional yang menganjurkan konvoi besar-besaran pada 4 April, disifatkannya sebagai pembaziran subsidi rakyat.
Dalam kenyataan di media sosial, Mahfuz berkata seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya rakyat berjimat dalam penggunaan minyak ketika krisis tenaga global adalah langkah bertanggungjawab dan berasaskan realiti semasa.
Namun, katanya, tindakan pembangkang menganjurkan konvoi yang menggunakan bahan api secara besar-besaran menunjukkan sikap tidak matang, tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.
Beliau turut membangkitkan penglibatan empat menteri besar dalam konvoi tersebut, sambil menyifatkannya sebagai memalukan memandangkan negeri-negeri berkenaan masih bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan.
“Persoalannya mudah: bagaimana pemimpin yang masih memerlukan bantuan pusat boleh secara terbuka menggalakkan pembaziran subsidi rakyat?
“Tangan kanan minta bantuan pusat, tangan kiri bakar subsidi rakyat,” katanya.
“Kerajaan menyeru rakyat berjimat untuk masa depan negara. Pembangkang pula mengajak rakyat membazir untuk kepentingan politik,” katanya.








