Arab Saudi mengumumkan bahawa Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2026 akan disambut pada Jumaat, 20 Mac, selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan pada petang Rabu.
Pengumuman rasmi itu dibuat selepas proses cerapan hilal di seluruh negara gagal mengesan kenampakan bulan baharu, sekali gus melengkapkan bulan Ramadan selama 30 hari tahun ini.
Menurut laporan media antarabangsa, penentuan tarikh Aidilfitri di Arab Saudi masih berpandukan kaedah rukyah (cerapan), selaras dengan tradisi kalendar Islam yang berasaskan peredaran bulan.
Sehubungan itu, umat Islam di negara berkenaan akan meneruskan ibadah puasa pada Khamis sebelum menyambut Aidilfitri keesokan harinya.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara lain termasuk UAE, Qatar dan Kuwait turut mengumumkan sambutan Aidilfitri pada tarikh sama selepas keputusan cerapan masing-masing menunjukkan hilal tidak kelihatan.








