Polis Diraja Malaysia akan menjalankan siasatan secara telus terhadap insiden seorang anggotanya yang didakwa mengasari penunggang motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim, Kedah semalam.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tidak boleh diambil secara semberono hanya berdasarkan rakaman video pendek yang tular di media sosial.
Menurut beliau, langkah tergesa-gesa boleh menjejaskan semangat anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan, terutama apabila berdepan suspek yang bersikap agresif.
“Tak boleh buat tindakan semberono, itu akan merentap semangat anggota polis ketika membuat penguatkuasaan sebab mereka yang menjadi suspek ini, kadang-kala agresif. Yang kita tengok itu beberapa tempoh yang singkat isi video itu.
“Sebelum itu, ada tak subjek yang kita tahan itu bertindak agresif? Ada tak dia menggerakkan motosikal dia menentang arus? Ada tak dia berlaku insiden dia melanggar kenderaan polis?
“Jadi, biar pasukan polis siasat dulu. Jangan kita hukum hanya kerana kita tengok video beberapa saat itulah. Ada beberapa perkara di sebalik sebelum insiden itu dirakam dan disebarkan,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri hari ini. -Malaysia Gazette








