Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini berdepan tarikh akhir untuk menjelaskan kenyataannya berhubung hasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan menggunakan tiket PKR.
Menurut Malaysiakini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata Rafizi diberikan tempoh sehingga hari ini untuk membalas dan memberikan penjelasan terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada beliau.
“Surat tunjuk sebab itu diberikan bagi memberi peluang kepada beliau menjelaskan pendiriannya memandangkan parti tidak mahu mengambil tindakan tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripada beliau,” kata Fuziah.
Fuziah turut memaklumkan bahawa pada 1 Mac ini, PKR akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat untuk membincangkan dan menentukan langkah seterusnya terhadap Rafizi.
Rafizi sebelum ini mendakwa bahawa PKR sedang cuba menekannya supaya meninggalkan parti supaya beliau tersingkir sebagai ahli Parlimen. Rafizi berkata bahawa beliau telah menerima surat tunjuk sebab yang menuduhnya mengisytiharkan keluar daripada parti apabila beliau mengumumkan rancangan untuk bertanding PRU-16 bukan di bawah tiket PKR








