Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, hari ini mengaitkan siasatan polis terhadap dakwaan konspirasi menggulingkan kerajaan dengan pengalaman yang beliau lalui ketika penganiayaan era skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam satu kenyataan di media sosial, Pua mengimbas kembali ketika beliau disiasat oleh polis atas dakwaan terlibat dalam “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”. Beliau berkata pada waktu itu beliau turut dikenakan larangan ke luar negara berhubung isu 1MDB yang disifatkannya sebagai “great, great, great grandmother of all scandals”.
Menurutnya, kini polis sekali lagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, yang melibatkan seorang “individu berpengaruh” serta sebuah agensi media antarabangsa.
Pua mempersoalkan sama ada siasatan terbaharu itu berkait dengan isu yang dirujuknya sebagai skandal “Azam Baki dan MACC ‘Corporate Mafia’”.
“Sounds like deja vu,” katanya, merujuk kepada persamaan antara pengalaman lalu dan perkembangan semasa.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri yang digelarnya sebagai “Reformasi PM” supaya menghentikan apa yang disifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar.








