Pengerusi MIDA dan juga Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mempertahankan pendekatan kerajaan berhubung isu tarif melibatkan Amerika Syarikat (AS), sambil menegur pihak yang mendakwa Malaysia terpaksa membayar tarif dua kali ganda berbanding negara lain.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau menjawab dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa langkah kerajaan adalah bersifat proaktif dan bertujuan melindungi kepentingan ekonomi negara.
“Apa yang menyebabkan kita perlu membayar tarif berganda ini? Apabila Mahkamah Agung AS telah memansuhkan tarif tersebut, ia bermakna tarif 19% di Malaysia tidak lagi sah,” katanya.
Beliau menjelaskan konsep tarif itu boleh diibaratkan seperti insurans perjalanan – sesuatu yang mungkin kelihatan tidak perlu pada awalnya, namun penting sebagai perlindungan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka.
“Apabila anda memasuki hospital asing, bilnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Barulah kita faham mengapa membayar tarif berganda adalah penting. ART ini pun sama, kita bersedia lebih awal. Sediakan payung sebelum hujan,” katanya.
Menurut Zafrul, kerajaan sedar kes mahkamah berkaitan isu tarif tersebut masih berjalan. Namun, katanya, jika Malaysia menunggu sehingga keputusan memihak kepada bekas Presiden AS Donald Trump, negara mungkin terlewat untuk berunding.
“Dalam perdagangan global hari ini, mereka yang lewat akan membayar harga yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan sedemikian, memetik Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia sebagai antara negara yang telah mencapai persetujuan dengan AS.
“Adakah semua negara ini juga tergesa-gesa? Atau adakah mereka juga ingin memberi kepastian kepada industri masing-masing?” soalnya.
Zafrul menegaskan bahawa isu berkenaan bukan soal siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa yang bertindak lebih awal untuk melindungi ekonomi negara.
“Akhirnya, ini bukan persoalan siapa yang paling kuat bercakap. Ini persoalan siapa yang bertindak dahulu untuk melindungi ekonomi negara. Kita memilih untuk bersikap proaktif,” katanya.
Menurut beliau, setiap keputusan perdagangan memberi kesan langsung kepada pekerjaan rakyat dan masa depan industri Malaysia.
“Ada orang tunggu ribut datang, lepas itu sibuk bercakap tentang cara nak selamat. Kita pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tidak perlu basah dahulu baru nak cari tempat berteduh,” katanya lagi.








