Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi ahli parti itu dan tidak mempunyai hak untuk mewakili Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN) dan sepatutnya mereka perlu dipindahkan ke blok Bebas di Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Tun Faisal berkata berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu serta Peraturan Dewan Rakyat, Hamzah kini secara automatik dianggap sebagai Ahli Parlimen Bebas susulan pemecatannya daripada parti.
Menurutnya, kedudukan itu turut terpakai kepada beberapa lagi ahli Parlimen yang dipecat termasuk dari Grik, Padang Rengas, Tasik Gelugor, Machang dan Indera Mahkota.
“Berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Lompat Parti 2022, sepatutnya mereka dipindahkan ke blok Bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu serta Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa jawatan strategik yang diperoleh melalui parti, termasuk Ketua Pembangkang, sepatutnya terbatal secara automatik selepas pemecatan.
Pada masa sama, Tun Faisal menegaskan baki 20 ahli Parlimen Bersatu yang masih sah keanggotaannya kekal sebagai wakil parti dan PN dalam blok pembangkang.
“Mereka tidak terjejas oleh Akta Lompat Parti dan Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu. Selagi mereka tidak meninggalkan parti atau dipecat, mereka boleh terus memegang jawatan serta duduk dalam blok pembangkang,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Hamzah mempunyai sokongan ahli Parlimen Bersatu lain, Tun Faisal merujuk Seksyen 9(2) Akta Lompat Parti yang menurutnya tidak membenarkan ahli Dewan Rakyat yang masih menjadi ahli parti asal dianggap sebagai Ahli Bebas atau berpindah blok tanpa kelulusan parti atau pemecatan rasmi.
“Hanya ahli Parlimen yang dipecat atau meninggalkan parti boleh bergabung dengannya. Ahli Parlimen yang kekal sebagai ahli Bersatu tidak sah secara undang-undang untuk berpindah blok secara kolektif tanpa tindakan disiplin rasmi,” katanya.
Beliau turut menyatakan sekiranya terdapat jawatan seperti Ketua Whip, Pengerusi PAC, dan pengerusi portfolio sepatutnya terbatal dan perlu diganti dengan Ahli Parlimen yang lain.
Tun Faisal juga berpandangan parti boleh memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memindahkan ahli yang dipecat ke blok Bebas bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan blok pembangkang.
Menyentuh jawatan Ketua Pembangkang, beliau berpendapat jawatan itu mesti diisi oleh ahli yang mewakili parti dalam blok pembangkang dan bukannya Ahli Bebas.
“Ahli Bebas sepatutnya tidak layak mencalonkan atau menentukan Ketua Pembangkang kerana mereka tidak mewakili blok pembangkang rasmi,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan disiplin dan pengurusan blok oleh parti adalah penting bagi memastikan autoriti dan kredibiliti Bersatu serta PN sebagai blok pembangkang kekal utuh.








