Rafizi Ramli memberi amaran bahawa kerajaan tidak seharusnya mengulangi pendekatan penafian dan penapisan maklumat seperti yang berlaku ketika skandal 1MDB, sambil menegaskan beliau bersedia berdepan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam sidang media hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu menasihati Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengulangi “kesilapan lampau” yang menurutnya pernah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu ketika berdepan pendedahan media antarabangsa.
“Kita dah lalui perkara ini. Rakyat Malaysia dah tahu skrip dia. Mula-mula kata tipu, kemudian gam, kemudian tak bagi orang baca,” katanya merujuk pengalaman negara semasa skandal 1MDB yang turut mengheret bekas perdana menteri Najib Razak.
Rafizi berkata media antarabangsa lazimnya menjalankan siasatan mendalam selama bertahun-tahun sebelum sesuatu pendedahan dibuat, justeru cubaan menutup isu tidak akan menghilangkannya.
Sedia disiasat, dakwa wujud intimidasi
Dalam masa sama, Rafizi memaklumkan beliau bersedia disiasat susulan laporan SPRM yang dibuat oleh beberapa NGO terhadap dirinya, sambil menyifatkan tindakan pantas agensi itu mengumumkan siasatan sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Seumur hidup saya, ini laporan SPRM pertama terhadap saya. Kalau kena masuk lokap pun saya bersedia,” katanya, sambil menambah pengalaman lampau ketika mendedahkan isu 1MDB, Felda dan Tabung Haji menjadikannya tidak gentar dengan kemungkinan siasatan atau serbuan.
Beliau turut mendakwa taktik intimidasi dan penciptaan kes pernah digunakan oleh pentadbiran sebelum ini, namun menurutnya pendekatan tersebut tidak berjaya menghalang pendedahan kebenaran.
“Rakyat hakim terakhir”
Rafizi menegaskan peranan ahli parlimen adalah menyuarakan tuntutan rakyat walaupun berdepan tekanan undang-undang atau siasatan. Menurutnya, wakil rakyat sekurang-kurangnya mempunyai akses kepada peguam dan saluran pembelaan diri, berbeza dengan orang awam yang mungkin tidak mempunyai platform sama.
“Kalau kena kepada orang biasa, peniaga yang tak kacau orang, tiba-tiba harta dia diambil, tak ada siapa dengar. Dia akan tenggelam begitu sahaja,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa akhirnya rakyat akan menjadi penentu terhadap sebarang isu yang timbul, sambil menggesa supaya dakwaan berkaitan SPRM disiasat secara telus dan bebas.
“Kita tak minta banyak. Kita minta siasat. Apa yang payah sangat nak siasat?” katanya lagi, sambil menambah kegagalan membawa isu ke peringkat rakyat hanya akan menyebabkan perkara tersebut “mati dan diam begitu sahaja.”








