KUALA LUMPUR — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan beliau bersedia disiasat oleh jawatankuasa bebas berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Azam menegaskan beliau terbuka kepada siasatan telus dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya.
Beliau menjelaskan semua pengisytiharan kewangan serta harta telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi.
Azam berkata pendekatan siasatan yang telus penting bagi mempertahankan integriti peribadi dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya, sambil menegaskan budaya akauntabiliti mesti diamalkan tanpa pengecualian.
Beliau turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan kerajaan.
“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya.- Astro Awani








