KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda Umno, Akmal Salleh mengakui beliau mampu bekerjasama secara profesional dengan pemimpin DAP dalam urusan pentadbiran, namun menegaskan “semangat cauvinisme” dalam parti itu masih belum hilang sepenuhnya.
Dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin, Akmal berkata pengalaman beliau bekerja bersama wakil DAP sebagai timbalan kepada jawatan exco menunjukkan kerjasama boleh berjalan baik selagi perbincangan tidak menyentuh isu politik atau perkara sensitif.
“Kami ada garis yang katakan, we don’t talk about politics. Kerja, kita kerja dan kita boleh kerjasama dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, hubungan profesional itu turut melibatkan kehadiran dalam beberapa mesyuarat dan program parti lain, termasuk perhimpunan agung PKR dan Amanah ketika beliau memegang jawatan dalam sayap pemuda.
Akmal berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk duduk semeja, berbincang atau berbahas dengan pemimpin parti lain, namun tetap mengekalkan ketegasan apabila menyentuh perkara yang dianggap melanggar batas prinsipnya.
Menjawab soalan sama ada DAP masih membawa unsur cauvinisme, Akmal menjawab ringkas, “Ada,” sambil menambah bahawa walaupun terdapat pemimpin yang dilihat lebih sederhana, semangat tersebut menurutnya masih wujud dalam kalangan sebahagian pimpinan parti itu.
Beliau turut menyatakan kebimbangan dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada kenyataan berulang pemimpin tertentu yang menyentuh isu sensitif, dan menegaskan bahawa sikap sederhana perlu ditunjukkan secara konsisten, bukan sekadar label.
“Kalau betul-betul moderate, show them to moderate… kita boleh bekerjasama. Tapi kalau setiap kali cakap tentang sensitif, satu kali kita boleh diam, dua kali boleh diam. Kalau lebih daripada tu…,” katanya.
Akmal bagaimanapun menegaskan bahawa ketegasan dalam pendirian tidak bermaksud beliau menolak untuk bekerjasama secara keseluruhan, sebaliknya menekankan keperluan garis sempadan yang jelas dalam hubungan antara parti.








