Polis telah mengesahkan bahawa insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) melanggar sebuah motosikal yang tular di media sosial tidak melibatkan unsur gangsterisme mahupun isu perkauman seperti yang tersebar dalam beberapa kapsyen video tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Jernih, Kajang, berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah dan laluan lori di kawasan itu.
“Siasatan mendapati kejadian ini berpunca daripada rentetan perselisihan faham antara dua pihak… kita menerima dua laporan berasingan di bawah Seksyen 307/279 dan Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata bahawa kedua-dua pihak yang terlibat telah tampil membuat laporan polis dan setakat ini, lima lelaki termasuk seorang warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.
Rakaman video berdurasi kira-kira 16 saat itu menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal di laluan kampung, dan ia disertai imej serta kapsyen yang mendakwa mangsa menerima ugutan sebelum kejadian — dakwaan yang dinafikan oleh polis kerana tiada bukti ia berkaitan aktiviti gengsterise atau isu perkauman.
Shazeli turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berkongsi maklumat di media sosial untuk mengelakkan kekeliruan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat. -Free Malaysia Today








