Seorang bekas pendidik warga emas di Perancis didakwa atas pertuduhan rogol dan serangan seksual membabitkan 89 remaja, dalam kes yang didakwa berlaku merentasi lebih lima dekad dan beberapa negara.
Jacques Leveugle, 79, yang pernah bekerja sebagai guru tidak rasmi serta pembantu aktiviti luar, ditahan selepas ahli keluarganya menemui sebuah pemacu USB yang mengandungi butiran interaksi beliau dengan mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun.
Pendakwa raya di Grenoble berkata dakwaan terhadap Leveugle meliputi tempoh dari 1967 hingga 2022. Penderaan itu dipercayai berlaku bukan sahaja di Perancis, malah di beberapa negara lain termasuk Jerman, Switzerland, Maghribi, Niger, Algeria, India, Filipina, Colombia serta Kaledonia Baru.
Pihak berkuasa mengambil langkah luar biasa dengan mendedahkan identiti suspek sebagai usaha menggalakkan lebih ramai mangsa tampil ke hadapan, memandangkan setakat ini hanya kira-kira 40 mangsa dikenal pasti.
Kes itu turut disertai rayuan kepada saksi dan mangsa lain untuk tampil memberikan maklumat, berikutan skop penderaan yang didakwa luas dan berlarutan dalam tempoh yang panjang.
Pendakwa raya turut memaklumkan bahawa bahan yang ditemui dalam pemacu USB berkenaan termasuk foto dan catatan terperinci berkaitan interaksi suspek dengan mangsa, yang menjadi antara bukti penting dalam pendakwaan. -Astro Awani








