IPOH — Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam ikan miliknya ketika menjala ikan di Batu 20, Kampung Sungai Nangka Jelai, di Batu Kurau pada malam Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.02 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau digerakkan ke lokasi.
Setibanya anggota bomba di tempat kejadian 16 minit kemudian, mangsa ditemui terbaring di tebing kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Setelah pasukan perubatan Kementerian Kesihatan tiba, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan. Operasi bomba berkenaan tamat pada 9.38 malam. -Astro Awani








