Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menzahirkan pendirian tidak berkenan sekiranya penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah dalam negeri Selangor, berikutan kebimbangan terhadap impak alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Istana Selangor, Mohamad Munir Bani, baginda menegaskan bahawa aktiviti penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara serta sumber air, dan walaupun kaedah penternakan moden boleh mengurangkan kesan tersebut, kosnya tinggi dan tidak praktikal untuk sekadar memenuhi permintaan daging babi di negeri ini sahaja.
Baginda turut menyatakan bahawa tiada jaminan sepenuhnya bahawa penternakan moden tidak akan mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber air bersih kepada penduduk Lembah Klang. Sebagai alternatif, Sultan Sharafuddin mencadangkan kerajaan memberi lesen import daging babi untuk menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor.
Menurut kenyataan istana, pendekatan import bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan yang berlarutan, malah membolehkan tanah di Selangor dioptimumkan untuk pembangunan lain seperti perumahan dan infrastruktur. Baginda turut menyeru semua pihak untuk menghormati titah tersebut demi perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini. -MalaysiaKini








