Rompin, Pahang – Polis Rompin mengesahkan seramai 21 penduduk Orang Asli daripada Kampung Jemeri telah ditahan semalam berhubung dakwaan menceroboh dan merosakkan tanah yang disahkan milik Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata tanah seluas 718.281 hektar itu mempunyai geran rasmi yang tertera nama Sultan Pahang, berdasarkan makluman oleh wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan kawasan ladang berkenaan.
Polis menerima laporan bahawa sekumpulan Orang Asli, yang merupakan suku Jakun, didakwa menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong tanaman kelapa sawit di kawasan itu tanpa kebenaran.
Sebelum ini, penduduk terbabit dikatakan merobohkan sekatan di laluan masuk kerana mereka percaya kawasan tersebut merupakan tanah adat warisan yang didiami nenek moyang mereka sejak turun-temurun.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 447 (pencerobohan) dan Seksyen 427 (kerosakan harta) Kanun Keseksaan serta proses permohonan reman sedang diuruskan.
Persatuan Suku Jakun Pahang mengecam penahanan itu dan menuntut pembebasan segera semua yang ditahan, mendakwa tindakan penduduk adalah untuk mempertahankan hak atas tanah adat mereka daripada apa yang didakwa sebagai pencerobohan syarikat luar. -MalaysiaKini








