OVIEDO – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan rancangan kerajaan untuk melarang golongan bawah umur 16 tahun daripada mengakses platform media sosial sebagai sebahagian usaha memperketat kawal selia dunia digital.
Berucap pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai pada Selasa, Sanchez berkata platform media sosial kini beroperasi tanpa kawalan berkesan dan mengabaikan undang-undang, sekali gus mendedahkan pengguna, khususnya kanak-kanak, kepada pelbagai risiko. Sehubungan itu, platform digital akan diwajibkan melaksanakan pengesahan umur bagi tujuan akses.
Beliau berkata kerajaan Sepanyol akan meluluskan rang undang-undang minggu hadapan yang memperuntukkan liabiliti jenayah terhadap eksekutif platform digital sekiranya berlaku penyebaran kandungan haram, selain menggesa pendakwa raya menjalankan siasatan terhadap kandungan sedemikian.
Sanchez turut memaklumkan bahawa manipulasi algoritma akan diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah, sambil memberi amaran bahawa penyebaran maklumat palsu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh kepentingan tertentu.
Beliau memetik contoh dakwaan penyebaran pornografi kanak-kanak menggunakan kecerdasan buatan serta maklumat palsu berkaitan dasar imigresen Sepanyol yang didakwa disebarkan oleh pihak luar, dan menegaskan keperluan mempertahankan kedaulatan digital negara daripada campur tangan asing.
Menurutnya, walaupun syarikat media sosial memiliki kuasa dan kekayaan besar, kerajaan tidak boleh tunduk kepada pengaruh tersebut. Sanchez berkata beberapa negara Eropah sedang bekerjasama untuk memperkukuh kawalan ke atas platform media sosial demi memastikan keselamatan pengguna dan pematuhan terhadap undang-undang. -Sinar Harian








