Seorang lelaki, Mohd Faizal Idris, 44, dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Februari lalu.
Kejadian berlaku di kediaman mereka di Jalan Bukit Rambai kira-kira jam 2 pagi, 1 Februari lalu. Perselisihan faham tercetus apabila mangsa meminta kunci kereta tertuduh untuk mengalihkan kenderaan bagi membawa anak mereka yang sakit ke hospital.
Pertengkaran mulut tersebut akhirnya berada di luar kawalan apabila tertuduh bertindak menaburkan bedak ke atas kepala isterinya sebelum menumbuk muka mangsa di bahagian kiri sehingga bengkak.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.
Berdasarkan pemeriksaan perubatan di Hospital Melaka, mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian muka.
Fakta kes mendedahkan tindakan agresif itu dilakukan secara sengaja di hadapan ahli keluarga.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Seksyen 326A memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan melibatkan keganasan rumah tangga terhadap pasangan.
Walaupun tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan baru sahaja bekerja, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mahkamah akhirnya memutuskan hukuman penjara demi memberi mesej tegas terhadap isu keganasan domestik. – Harian Metro








