IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri menerusi Belanjawan Perak 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian itu turut melibatkan ahli ex-officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) serta guru lantikan negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak.
Menurut MG Perak, orang besar jajahan, pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan (contract for service) dan kakitangan di bawah program Kontrak MySTEP turut layak menerima bantuan berkenaan.
Beliau berkata, pembayaran penuh BKK itu dijadualkan pada 22 Disember ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan RM600 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.
Bantuan sebanyak RM400 pula diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Guru I’dadi dan Thanawi, guru serta penyelia tadika Islam, Guru Aiman dan Guru Agama Dakwah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak.
Saarani berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negeri serta semua Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menerima insentif BKK bersamaan dua bulan elaun berjumlah RM20,000, yang akan dibayar pada Januari tahun depan.
Menurut Saarani, pemberian bantuan itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, pelbagai pencapaian kerajaan negeri turut didorong oleh kesungguhan petugas di sebalik tabir yang sentiasa memastikan urusan rakyat diselesaikan serta kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.








