SEPANG: Mahkamah Majistret Sepang menetapkan 23 Disember depan bagi sebutan semula kes Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berdepan dua pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Majistret Khairatul Animah Jelani menetapkan tarikh itu bagi pengurusan kes selepas pihak pembelaan memaklumkan mereka menerima dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan pagi ini. Permohonan pembelaan supaya pengurusan kes ditetapkan pada 20 Januari 2027 tidak dibenarkan kerana mahkamah menetapkan ia perlu dibuat dalam tempoh 60 hari daripada sebutan pertama.
Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan perintah larangan bersuara atau “gag order”.
Peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata perintah itu bertujuan menghalang pihak terlibat daripada membuat kenyataan yang bersifat sub judice atau berpotensi memprejudiskan kes. Ia mengikat pihak pembelaan, pendakwaan dan peguam pemerhati sehingga kes diputuskan, namun media masih dibenarkan melaporkan prosiding mahkamah.
Mohd Shuhaily sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua anggota polis berkenaan turut memfailkan saman sivil terhadap Mohd Shuhaily pada 4 November atas dakwaan penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.
Sumber: Astro Awani,Bernama








