MELAKA – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mempunyai kaitan dengan agenda politik Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau mendakwa, keputusan menggantung PN pada 23 September lalu bukan satu kebetulan kerana tarikh berkenaan juga merupakan hari Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
Menurut Sinar Harian, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai masa pelaksanaannya, terutama ketika parti-parti politik sedang membuat persiapan menghadapi PRN.
“Seperti kita tahu 23 September DUN Melaka telah dibubarkan. Tapi saya nak mengingatkan semua, 23 September juga PN telah digantung.
“Mengapa pada masa ini baru PN digantung? Ini memang niat yang sangat jahat. Ini keputusan politik, ini memang agenda bagi PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRN Melaka di sini pada malam Khamis.
Dominic turut mendakwa tindakan berkenaan bertujuan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.








