BUKIT KATIL: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui penggunaan logo berbeza oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berkemungkinan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku meskipun kedua-dua gabungan berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Menurut UTUSAN, BN dan PH masing-masing berpeluang mengaitkan pencapaian kerajaan sebagai kejayaan gabungan sendiri, sekali gus menyerahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian.
“Rakyat agak sedikit keliru sebab BN pun dalam kerajaan, PH pun dalam kerajaan. Jadi, kalau apa kejayaan yang disebut oleh BN adalah kejayaan kerajaan, kami pun sebut ia kejayaan pihak kerajaan.
“Terserahlah kepada pengundi untuk menimbang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohamad berkata, pimpinan PH akan berusaha memberikan penjelasan kepada masyarakat sepanjang tempoh kempen bagi membantu pengundi memahami kedudukan kedua-dua gabungan itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekeliruan tersebut mungkin masih berlaku dalam kalangan pengundi walaupun penjelasan diberikan.
“Kita akan usahakan terang. Tapi, saya sebut tadi, keliruan itu akan tetap ada pada orang,” katanya.








