MELAKA: MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sekiranya tidak mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi parti.
Menurut Harian Metro,Presiden MCA,Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, khususnya apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu didakwa diberikan kepada parti lain.
Beliau turut mendakwa MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam ini akan menyaksikan pengumuman calon.
Sebaliknya, katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa majlis berkenaan hanya membabitkan pelancaran jentera pilihan raya.
“Jika mereka umumkan pun, kami tidak akan mengakuinya. Jika pengerusi MCA sendiri tidak menandatanganinya, bagaimana ia boleh diiktiraf?
“Calon mestilah datang daripada cadangan pucuk pimpinan parti. Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) setiap parti politik,” katanya kepada pemberita media berbahasa Cina, dengan terjemahan kenyataannya dikongsikan kepada media.
Difahamkan, Wee bersama barisan kepimpinan MCA meninggalkan majlis berkenaan sebelum ucaptama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta pengumuman calon berlangsung.
Mereka kemudiannya mengadakan sidang media di luar dewan bagi menjelaskan pendirian parti berhubung isu berkenaan.








