MELAKA – Kerajaan bersedia menanggung kos subsidi bahan api sehingga RM45 bilion setahun susulan lonjakan harga minyak mentah dunia bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada tekanan peningkatan kos sara hidup.
Menurut Sinar Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal komited mempertahankan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dilaporkan melonjak antara AS$120 hingga AS$130 setong.
Beliau berkata keputusan itu mencerminkan keutamaan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang paling terkesan sekiranya harga bahan api dinaikkan mengikut pasaran.
Anwar menjelaskan, sekiranya kenaikan harga minyak mentah dunia berterusan, jumlah perbelanjaan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan dianggarkan mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun.
Beliau berkata, tanpa campur tangan kerajaan, kenaikan harga bahan api akan memberi kesan langsung terhadap perbelanjaan harian isi rumah, termasuk kos perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.
“Kalau kita naik harga minyak ikut pasaran, tiap-tiap hari kena tambah RM2, RM3, minimum RM5 tiap-tiap hari.
“Bayangkan kalau penggunaan itu lebih, hantar anak ke sekolah, dia sendiri kerja, itu tiap-tiap hari RM10. Lebih baik kerajaan terbeban daripada bebankan rakyat, ibu bapa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 di Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong, Melaka.








