KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kelemahan aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai sesuatu yang memalukan negara, selain menggesa tindakan diambil terhadap individu yang didakwanya memberikan nasihat tidak tepat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keupayaan aplikasi berkenaan.
Menurut beliau, usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan data negara sememangnya wajar disokong, namun sebarang aplikasi yang dicadangkan sebagai pengganti Waze perlu melalui penilaian serta ujian menyeluruh bagi memastikan keberkesanannya.
Guan Eng berkata, beliau menerima pelbagai aduan pengguna mengenai kelemahan fungsi TuJu yang didakwa menyukarkan perjalanan, sekali gus mempersoalkan kesediaan aplikasi itu untuk dijadikan alternatif kepada Waze.
“Maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi TuJu hanya akan menyusahkan pengguna. Saya telah menerima aduan mengenai ketidakberkesanan TuJu dan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya sebagai pengganti Waze,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan bahawa rakyat pada asasnya menyokong usaha mengurangkan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan yang dikaitkan dengan penggunaan Waze, namun aplikasi pengganti mestilah mempunyai kemampuan teknologi yang setanding.
Beliau turut mendakwa Anwar telah diberikan nasihat yang salah mengenai tahap kesiapsiagaan TuJu dan menggesa pihak yang bertanggungjawab meyakinkan Perdana Menteri mengenai keupayaan aplikasi berkenaan dikenakan tindakan.
“Jelas sekali, Perdana Menteri telah diberikan nasihat yang salah,” katanya.
Dalam masa sama, Guan Eng menggesa Anwar menjelaskan kepada rakyat jumlah kos yang ditanggung kerajaan bagi pembangunan aplikasi TuJu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak yang membangunkan aplikasi berkenaan mendapatkan khidmat nasihat pakar teknologi dari Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun bagi memastikan sistem navigasi itu memenuhi keperluan pengguna.
Sehubungan itu, Guan Eng mencadangkan supaya Perdana Menteri menilai semula perancangan pembangunan TuJu dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) menghasilkan versi yang lebih baik dan berkesan sebagai alternatif kepada Waze.








