KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya atau melulu membayar pampasan kepada mangsa atau waris yang sah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya kini sedang mengadakan sesi libat urus bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan pampasan serta cadangan pindaan undang-undang berkenaan.
Menurut beliau, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal 2027, tertakluk kepada proses pembentangan dasar, penggubalan undang-undang dan sesi libat urus yang sedang berlangsung.
“Sekiranya diluluskan, pindaan tersebut akan menjadi punca kuasa khusus di bawah Akta 333 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pampasan kepada mangsa atau waris, di samping hukuman penjara, denda dan tindakan lain yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.
Anthony menegaskan, pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya atau melulu tidak seharusnya dilayan seperti pesalah trafik biasa, sebaliknya perlu berdepan tindakan undang-undang yang berat mengikut kesesuaian kes.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembayaran pampasan tidak akan menggantikan hukuman sedia ada, sebaliknya menjadi tanggungjawab tambahan pesalah terhadap kesan perbuatan mereka kepada mangsa dan keluarga.
Katanya, pendekatan itu bertujuan mengimbangi aspek pencegahan dan hukuman terhadap pesalah dengan keadilan serta pembelaan kepada mangsa dan waris.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan penguatkuasaan tegas serta hukuman setimpal dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya.








