KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik BYD Seal yang terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, membayar wang jaminan berjumlah RM36,000.
Menurut UTUSAN, bayaran jaminan itu diselesaikan oleh bapanya yang berusia 55 tahun kira-kira jam 11.30 pagi.
Tertuduh, Haur Raeven Gowyha, 24, yang memakai topi dan pelitup muka dilihat menundukkan kepala ketika dibawa keluar ke pekarangan Kompleks Mahkamah bersama bapa serta peguam belanya.
Terdahulu, Haur Raeven mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan memandu secara berbahaya mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Antara pertuduhan dihadapinya ialah memandu kereta elektrik jenis BYD Seal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang Sabtu lalu, kereta Perodua Bezza yang dinaiki mangsa dilanggar dari arah belakang oleh BYD Seal dipandu tertuduh.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial.
Akibat pelanggaran berkenaan, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kemalangan itu turut membabitkan sebuah motosikal, sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.







