NIBONG TEBAL: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan aktivis Arun Dorasamy berhubung pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam menerusi media sosial, tahun lalu.
Menurut Malaysia Kini,Keputusan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin kepada Majistret Balqis Roslin ketika prosiding di Mahkamah Majistret Jawi, di sini, hari ini.
Susulan penolakan representasi berkenaan, mahkamah menetapkan 1 Februari 2027 sebagai tarikh permulaan perbicaraan, dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan.
Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, diwakili peguam T. Gunaseelan.
Pada 17 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya yang didakwa boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Mengikut pertuduhan, kenyataan berkenaan didakwa dilihat dan didengar oleh seorang individu di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, pada jam 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Hantaran itu didakwa mengandungi gesaan kepada Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia supaya mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Gesaan berkenaan dikaitkan dengan kontroversi video membabitkan tiga penyampai radio tempatan yang didakwa mempersendakan suatu perayaan agama.
Pertuduhan terhadap Arun dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.








