KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 199 kes jenayah membabitkan pelarian Rohingya di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.
Menurut Buletin TV3,Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 58 kes, diikuti Kedah sebanyak 26 kes dan Kuala Lumpur, 22 kes.
Beliau berkata berdasarkan pecahan tahunan, sebanyak 52 kes direkodkan pada 2022, sekali gus menjadikannya tahun dengan jumlah kes tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.
“Pada 2023, sebanyak 43 kes direkodkan, diikuti 37 kes pada 2024 dan 29 kes pada 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sebanyak 38 kes dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, hari ini.
Saifuddin menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan yang meminta kerajaan memperincikan statistik kesalahan jenayah membabitkan pelarian Rohingya mengikut negeri bagi tempoh berkenaan.
Adnan turut meminta penjelasan berhubung langkah kerajaan memperkukuh kawalan, sistem pendaftaran serta pemantauan terhadap komuniti pelarian Rohingya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.








