KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan bahawa keputusan untuk mendakwa atau menghentikan pendakwaan terhadap mana-mana individu tidak seharusnya dipengaruhi tekanan politik, sebaliknya mesti dibuat berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya dan kuasa pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, prinsip tersebut perlu dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti individu yang terlibat.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media hari ini sebagai mengulas desakan Ahli Parlimen Jelutong supaya Perdana Menteri memastikan seseorang individu didakwa semula.
“Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya,” tegasnya.
Azalina berkata, UMNO menolak sebarang campur tangan politik dalam keputusan pendakwaan, termasuk desakan supaya pertuduhan dikenakan semula terhadap individu tertentu hanya kerana terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan.
Katanya, dakwaan berlakunya pendakwaan terpilih juga perlu dinilai berdasarkan bukti dan bukan semata-mata perbezaan keputusan antara sesuatu kes.
Beliau menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan berhubung alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) serta keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
Sehubungan itu, sebarang kritikan terhadap keputusan pendakwaan perlu disokong fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik.








