KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan sistem pendaftaran pelarian secara dalam talian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai punca utama kesukaran Malaysia menguruskan pelarian yang berada di negara ini.
Menurut Malaysia Kini,beliau berkata, sistem berkenaan membolehkan individu dari luar negara memohon status pelarian sebelum memasuki Malaysia, walaupun permohonan mereka masih belum mendapat keputusan UNHCR.
Beliau turut berkata pemohon dari negara seperti Yemen, Syria dan Afghanistan boleh memasuki Malaysia sebagai pelancong menggunakan pas sosial sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.
“Belum pun UNHCR di Kuala Lumpur beri keputusan terhadap permohonan, dia datang dulu sebagai pelancong, pas sosial.
“Kemudian tiap-tiap minggu dia akan berkumpul depan pejabat UNHCR di Jalan Bellamy untuk tanya apa status permohonan,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, keadaan itu menjadi antara cabaran dalam pengurusan pelarian kerana individu terbabit sudah berada di Malaysia sebelum status mereka diputuskan.
“Itulah realitinya. Kita ini bercakap tentang hiliran. Yang huluan itu adalah menjadi punca masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Radzi sebelum itu meminta penjelasan sama ada pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) oleh kerajaan berpotensi menjadi faktor penarik atau pull factor kepada kemasukan pelarian ke Malaysia.








