KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut UTUSAN,keputusan itu dibuat Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin selepas menolak permohonan Najib pada prosiding yang berlangsung hari ini.
Najib, 73, sebelum ini memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkenaan didengar serta diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 terhadap Najib selepas didapati bersalah atas kesemua 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tambahan selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya beliau gagal membayar denda yang dikenakan.
Hukuman penjara 15 tahun itu diperintahkan bermula selepas Najib selesai menjalani tempoh pemenjaraan bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.








