KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan isu peruntukan RM2.1 bilion membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan menegaskan kementerian itu bertindak sebagai penyelaras bagi peruntukan yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata persoalan yang perlu dijelaskan adalah mengapa peruntukan yang menurutnya telah diluluskan tidak disalurkan kepada KKDW sedangkan projek berkenaan sudah mendapat kelulusan dan Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan.
Menurut Akmal, dalam tatacara kewangan kerajaan, sesebuah kementerian tidak boleh membuat perbelanjaan tanpa peruntukan serta kelulusan pihak berkuasa kewangan.
Justeru, beliau berpandangan penelitian perlu dibuat terhadap keseluruhan proses termasuk pihak yang meluluskan peruntukan, mengeluarkan SST, bertanggungjawab menyalurkan dana serta peringkat proses pembayaran itu terhenti.
“Jika benar terdapat isu atau salah laku, siasatan perlu dibuat dan fakta perlu didedahkan.
“Tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu memahami dengan jelas siapa yang meluluskan peruntukan, siapa yang mengeluarkan SST, siapa yang bertanggungjawab menyalurkan wang dan di peringkat mana proses itu terhenti,” katanya.
Beliau turut berpandangan KKDW tidak seharusnya dipersoalkan mengenai peruntukan yang didakwanya telah diluluskan sekiranya wang berkenaan tidak pernah disalurkan kepada kementerian untuk tujuan pembayaran kepada kontraktor.
Akmal dalam hantaran sama turut mengkritik pihak yang membangkitkan isu berkenaan dan mempersoalkan kefahaman mereka terhadap tatacara kewangan kerajaan.
“Kalau mantan Menteri Kewangan sendiri tidak memahami tatacara kewangan yang berlaku ketika di bawah pentadbirannya, maka tidak hairanlah rakyat tertanya-tanya bagaimana pengurusan kewangan negara ketika itu boleh menjadi begitu bercelaru,”
“Kesian negara ada MP yang masih lagi tidak faham tatacara kewangan negara,” katanya.








