SEREMBAN: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfailkan saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menurut Sinar Harian, Mereka ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor; ADUN Chennah, Siow Kong Choon; ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim; ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah.
Kesemua mereka selaku plaintif memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Seremban menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada Isnin.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, plaintif memohon deklarasi bahawa pembatalan pelantikan mereka yang diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S. P.U. 18 bertarikh 24 September lalu adalah batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.
Mereka turut mempersoalkan sama ada pelantikan seseorang Exco boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.
Plaintif juga memohon supaya mahkamah memutuskan persoalan perlembagaan berhubung kuasa membatalkan pelantikan Exco berdasarkan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada seseorang Exco boleh dipecat hanya melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar tanpa nasihat Menteri Besar.
Mereka turut mempersoalkan sama ada peruntukan yang menetapkan seseorang Exco memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar memberikan kuasa tidak terbatas kepada baginda untuk membatalkan pelantikan secara bersendirian.
Selain memohon pembatalan pelantikan itu diisytiharkan tidak sah dan tidak berkuat kuasa, kesemua plaintif turut menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, selain faedah serta kos.








