KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengekalkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun pada masa sama akan menyerap elemen yang bersesuaian daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengelakkan kesan cukai berlapis dalam sistem percukaian negara.
Menurut Buletin TV3,Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, keputusan mengekalkan SST dibuat kerana sistem berkenaan lebih mudah difahami selain mempunyai sejarah pelaksanaan melebihi 50 tahun.
Menurutnya, kerajaan juga telah melaksanakan sistem e-Invois yang dilihat mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan percukaian negara.
“Ramai mencadangkan GST kerana sistem ini diamalkan negara lain. GST atau Cukai Nilai Tambah (VAT) bermula di Perancis pada 1954 dan ketika itu, tiada e-Invois.
“Kini kita sudah ada e-Invois, maknanya tidak ada ketirisan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Liew berkata, pendekatan kerajaan adalah untuk mengekalkan SST sambil mengambil elemen tertentu daripada GST bagi memastikan kesan cukai berlapis atau ‘cascading’ dapat dielakkan.
Katanya, langkah itu juga bertujuan mewujudkan keseimbangan supaya pengguna tidak terbeban dan pada masa sama, perniagaan tidak terjejas akibat kesan cukai berlapis.








