KUALA LUMPUR: Tiada etnik Rohingya dikenal pasti dalam kalangan 1,476 pelarian Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia pada 29 September lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, berdasarkan rekod setakat ini, belum ada individu Rohingya yang dihantar pulang dalam operasi berkenaan, namun perkara itu masih dalam perbincangan.
“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan.
“Saya percaya Menteri Luar, Mohamad Hasan dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) semasa Waktu Pertanyaan Menteri.
Menurut Anwar, perjanjian penghantaran pulang itu melibatkan warganegara Myanmar daripada pelbagai komuniti etnik.
“Setakat ini, di bawah perjanjian kita, kita menyatakan warganegara Myanmar akan dihantar pulang, sama ada mereka etnik Rakhine, Karen atau Shan, mahu pun Rohingya.
“Satu perkara penting ialah kita menjamin mereka hanya akan dihantar pulang dengan persetujuan mereka. Ini menjamin keselamatan mereka dan melindungi hak asasi mereka,” katanya.
Operasi penghantaran pulang pada 29 September itu merupakan fasa pertama program yang melibatkan seramai 5,000 orang.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, kumpulan pertama berkenaan dipilih daripada senarai yang disahkan dan dibekalkan oleh Myanmar sebelum dihantar pulang menggunakan kapal tentera laut Myanmar.








