GOMBAK: Ketidakhadiran sebahagian besar pimpinan Pas pada upacara pengebumian Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada 28 September lalu bukan disengajakan, sebaliknya disebabkan komitmen program yang telah ditetapkan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Sinar Harian,Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu berkata, pihaknya pada masa sama telah menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta keluarga.
Menurutnya, beberapa pemimpin kanan Pas termasuk beliau sendiri mempunyai program yang tidak dapat dielakkan pada hari pemergian Tun Dr Hasmah.
“Kebetulan pada hari beliau meninggal dunia, memang kita akui bahawa sebahagian besar pimpinan Pas mempunyai program tertentu.
“Contohnya, saya sendiri terlibat dalam program di Kelantan, begitu juga Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kulliyyah ‘Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini pada Sabtu.
Tuan Ibrahim berkata, Pas bagaimanapun tetap menghantar wakil ke upacara pengebumian Tun Dr Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Katanya, wakil berkenaan termasuk Ketua Dewan Muslimat Pas dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Bagaimanapun Pas hadir dengan menghantar Ketua Dewan Muslimat dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim selain menyertai tahlil di rumah Dr Mahathir,” katanya.








