MELAKA: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan rundingan politik dengan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun setakat ini masih menunggu pelawaan daripada parti berkenaan.
Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, PH bersedia duduk semeja dengan mana-mana pihak bagi membincangkan kerjasama politik, termasuk Pas.
Menurut Malaysia Gazette, hubungan baik antara parti perlu dipelihara menjelang PRN Melaka, terutama ketika semua pihak sedang mengadakan perbincangan berkaitan hala tuju politik masing-masing.
“Cuma kita malam ini dengan kawan-kawan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), biasanya sebelum ini dengan Barisan Nasional (BN).
“Pas sahaja yang belum jemput kita lagi. Saya tunggu juga,” katanya selepas menghadiri majlis makan malam tertutup antara PH dan Bersatu di Jalan Hang Tuah, di sini malam tadi.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, PH tidak mempunyai masalah untuk menerima pelawaan Pas sekiranya parti itu berhasrat mengadakan rundingan berkaitan PRN Melaka.
“Kalau Pas hendak jemput, alhamdulillah kita akan datang,” Tambahnya.








