SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghentikan tindakan terhadap rumah ibadat tanpa izin di negeri itu, sebaliknya hanya melaksanakan penyelarasan semula bagi melicinkan proses penguatkuasaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjelasan itu dibuat selepas beliau melakukan semakan lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Pertama, tiada arahan pemberhentian tindakan terhadap rumah ibadat tanpa izin,” katanya menerusi hantaran di Threads, hari ini.
Menurut Amirudin, penyelarasan semula yang dilaksanakan turut mengambil kira pandangan pihak berkaitan, khususnya pengurusan rumah ibadat terbabit.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha mengelakkan penggunaan pita amaran, selain memastikan proses berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Kedua, penyelarasan semula dilaksanakan mengambil kira pandangan terutama daripada pihak pengurusan rumah ibadat antaranya bagi mengelakkan penggunaan pita amaran. Kerajaan negeri selaraskan bagi melicinkan proses,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa operasi perobohan serta pengeluaran notis perobohan terhadap rumah ibadat tanpa izin di seluruh Selangor tetap diteruskan mengikut jadual.
Penjelasan itu dibuat susulan persoalan yang dibangkitkan sebelum ini mengenai pelaksanaan penguatkuasaan terhadap rumah ibadat tanpa kebenaran serta dakwaan wujud penyelarasan baharu antara kerajaan negeri dan pihak berkaitan.
Terdahulu, beberapa pihak meminta kerajaan negeri menjelaskan hasil perbincangan dan pendekatan yang diambil dalam menangani isu rumah ibadat tanpa izin, termasuk proses tindakan penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah.
Amirudin bagaimanapun menegaskan, penyelarasan yang dilakukan tidak bermaksud tindakan penguatkuasaan dihentikan, sebaliknya bertujuan memastikan proses berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.








