KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak ketika ini tidak mempunyai kemampuan untuk membayar denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Menurut AWANI, Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keadaan kewangan bekas Perdana Menteri itu terjejas susulan pembekuan beberapa akaun bank miliknya.
Beliau turut berkata, antara akaun yang dibekukan ialah akaun Affin Bank yang didakwa digunakan Najib untuk menerima gaji ketika menjadi Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.
“Akaun bank Najib dibekukan, termasuk akaun Affin Bank yang menurutnya digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Shafee berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan berkaitan pelaksanaan pengampunan bersyarat Najib serta permohonan penangguhan hukuman dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Najib tidak pernah meminta sumbangan daripada orang awam untuk menjelaskan denda RM50 juta tersebut.
Menurut Muhammad Shafee, anak guamnya berada dalam keadaan serba salah kerana pembayaran itu merupakan antara syarat yang perlu dipenuhi, namun pada masa sama beliau tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menjelaskannya.
“Dia serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi dia tidak ada duit,” katanya.








